Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram di dalam Islam.

Allah berfirman, ”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (QS At-Taubah: 36)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Umat Islam dilarang berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni SUNAT) berpuasa di bulan-bulan Haram.

Berpuasa dalam bulan Rejab adalah digalakkan tetapi tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Diriwayatkan daripada Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله عنه beliau berkata: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berdoa: Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. (HR Imam Ahmad, ath-Thabarani dan lain-lain)


Orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan:

1. Mereka yang memperbanyakkan puasa sunat pada bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab tanpa melakukannya secara berterusan. Ini adalah sunnah.

2. Mereka yang berpuasa sunat Isnin, Khamis dan sebagainya dalam bulan Rejab. Mereka berpuasa sunat bukan kerana fadilat Rejab yang bersumber dari hadis yang tidak sahih tetapi kerana hadis-hadis yang menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini adalah sunnah.

3. Mereka yang berpuasa sunat dalam keseluruhan bulan Rejab kerana fadilat Rejab yang bersumber dari hadis yang tidah sahih. Ini BUKAN sunnah.

4. Mereka yang berpuasa secara berterusan daripada bulan Rejab, Syaban, Ramadhan dan enam hari bulan Syawal. Mereka tidak berhenti kecuali pada 1 Syawal. Ini BUKAN sunnah.

5. Mereka yang melarang apa-apa bentuk puasa sunat dalam bulan Rejab. Ini tidak benar. Boleh berpuasa sunat dalam bulan Rejab sebagaimana yang disebut dalam kategori pertama dan kedua di atas. Yang dilarang ialah puasa sunat kerana fadilat Rejab yang bersumber dari hadis yang tidah sahih.

6. Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang lepas dalam bulan Rejab. Ini dibolehkan selagi mana dia tidak beriktikad adalah lebih utama untuk mengqadha dalam bulan Rejab kerana fadilat-fadilatnya yang bersumber dari hadis yang tidak sahih. (Hafiz Firdaus).

0 comments:

Post a Comment

Thank You

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...