Apakah yang dimaksudkan dengan Isra' Mikraj?

Isra’ membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki Burak bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Mikraj ialah kejadian yang berlaku ekoran dari peristiwa israk, iaitu naik dari al-Aqsa kepada beberapa lapis langit yang tinggi, sampai ke suatu peringkat yang tertinggi iaitu suatu tempat bernama ‘Sidratul Muntaha’

Kejadian Israk Mikraj ini juga turut dicatat dalam Kalam Allah, Al-Quranul Karim di dalam surah Al-Israa’ ayat 1:

Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”
 

Peristiwa sepanjang Isra' Mikraj

Semasa perjalanan Baginda bersama Malaikat Jibril, telah diperlihatkan kepada Baginda gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini.


1.Kewajiban menunaikan solat
Ketika Israk Mikraj inilah, manusia diwajibkan untuk menunaikan solat 5 waktu. Solat yang menjadi tiang agama kita, jika ditunaikan tertegaklah Islam. Jika ditinggalkan, runtuhlah agama kita kerana tiangnya tiada.
Perlunya  kita  mengutamakan apa yang lebih utama. Setiap perkara ada keutamaan masing-masing. Sekiranya ada beberapa perkara yang kita rasakan penting dalam hidup, kita perlu membandingkan keutamaannya. Dalam hal ini, antara pertemuan dengan Allah dan pertemuan dengan kekasih hati, mana yang lebih utama? Semestinya kedua-dua sekali punya kepentingan tersendiri, bergantung kepada kita bagaimana untuk membezakan mana yang lebih utama.
Percayalah, sekiranya solat yang merupakan medium antara kita dengan Allah telah selesai, Allah pasti akan melindungi kita setiap masa dan ketika.
Allah menyatakan bahawa solat itu sendiri dapat mencegah kita dari melakukan kemungkaran. Andai kita masih lagi melakukan kemungkaran, pastinya ada sesuatu yang ‘kurang’ dalam solat kita itu. Bak kata orang, ‘something wrong inside’. Sengaja ditekankan perihal solat kerana peristiwa Israk Mikraj itulah yang membawa permulaan solat. Kemungkaran yang banyak berlaku pada hari ini berpunca dari silap kita sendiri, adakah solat kita merupakan solat yang betul-betul mencegah kepada kemungakaran? Ataupun adakah sekadar solat, tanpa adanya penghayatan, sekadar  rutin harian yang tiada makna dan ‘ruh’ keinsafan ketika melakukannya? Persoalan-persoalan ini sebenarnya tidak memerlukan jawapan betul atau salah, kerana jawapan itu sendiri terletak pada diri dan iman kita.


2.Kisah Mashitah dan keluarga
Di antara peristiwa yang perlu diambil pengajaran adalah Baginda s.a.w telah tercium bauan harum Mashitah dan keluarga yang telah gugur syahid kerana mempertahankan keimanan kepada Allah dan sanggup berhadapan dengan Firaun yang zalim. Mereka lebih sanggup dihumbankan ke dalam kawah yang bergelegak panas demi Allah daripada menerima azab Allah yang lebih pedih jika tunduk kepada Firaun yang sesat .
Tidak kurang juga sifat kita yang terlalu cepat terhutang budi kepada pemimpin atas alasan merekalah yang memberi gaji kepada kita. Sesungguhnya sifat taat kepada pemimpin itu adalah wajib, selagi mana pemimpin tersebut tidak melanggar syariat Allah. Apakah pemimpin seperti Fir’aun yang secara terangan melakukan syirik kepada Allah wajar untuk dipatuhi hanya kerana dialah yang member I pekerjaan kepada Mashitah?
Fikirkan secara wajar, apakah layak kita memberi ketaatan secara mutlak kepada pemimpin yang membelakangkan perintah Allah. Lupakah kita bahawa Allah swt adalah pemberi rezeki yang sebenar, bukannya si pemimpin. Ingatlah  jika kita benar-benar sayangkan Islam dan mahu ia kembali tertegak di muka bumi ini, maka jangan cepat gentar  atas kecaman dari manusia yang menzalimi, sebaliknya harungilah dengan penuh kesabaran dan tawakkal kepada Allah. Sesungguhnya kemenangan di akhirat hanyalah untuk orang-orang ikhlas dan yakin dengan janji-janji Nya.
Sesungguhnya kisah Masyitah telah membuktikan andai kita yakin pada janji Tuhan, tidak perlu untuk gentar pada siksaan dan kekejaman Fir’aun. Dan kini beliau telah menjadi salah seorang wanita mulia disisi Tuhannya.


3.Menguji keimanan
Israk Mikraj juga menguji keimanan kita untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya dalam hal-hal yang di luar jangkauan pemikiran kita. Sahabat Nabi seperti Abu Bakar beriman dan percaya dengan sepenuh hati bahawa Nabi memang telah pergi ke Palestin dan merentasi 7 langit pada satu malam.
Bayangkanlah seandainya perkara ini disampaikan kepada ketika itu. Adakah kita akan mempercayai dan beriman dengannya sebagaimana Abu Bakar? Atau kita akan bersungguh sungguh menolak kesahihan perkhabaran itu dnegan menganggap bahawa Nabi Muhammad saw telah berdusta?  Kita akan mula menafikan bagaimana manusia bisa merentasi 7 langit dan mengembara jauh hanya dalam satu malam. Mungkinkah jugakah kita akan ketawa sinis dan mempersendakan berita itu sebagai karut?
Sesungguhnya jika iman kita benar benar teguh kepada Allah dan Rasul, sudah pasti kita akan mempercayai nya tanpa sebarang dalih dan keraguan. Betapa ramai yang mengaku beriman, namun apabila diuji sedikit terus tersungkur dan berpaling dari Tuhan.
Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.
Disini kami ingin mengajak sahabat sahabat sekalian agar tidak menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai sekadar sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 rejab menjelang. Adalah lebih bermakna seandainya kita menjadikan peristiwa ini untuk dihayati dan diambil pengajarannya. Pelbagai peristiwa aneh yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw seharusnya dijadikan pengajaran bagi kita. Insafi diri bahawasanya hidup di dunia ini takkan pernah kekal. Kesemua kita akan kembali menghadap Yang Esa. Justeru, apakah persiapan yang telah kita lakukan dalam perjalanan menuju Tuhan?

Tanya hati, tanya iman, apakah sudah bersedia atau masih terkapai  hanyut dimamah keenakan dunia yang sementara.

Sumber : di sini

0 comments:

Post a Comment

Thank You

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...