Antara pendidikan awal terhadap anak ialah sejurus selepas dia dilahirkan ke dunia. Perkara pertama yang sunat dilakukan ialah mengazankan dan mengiqomahkan ke telinga anak.

Azan di telinga kanannya. Iqomah di telinga kirinya. Dalilnya ialah hadis Nabi s.a.w.: Dari Abu Rafi’, katanya: Aku melihat Rasulullah s.a.w. mengumandangkan azan di telinga al-Hasan bin Ali ketika ibunya (Fatimah) melahirkannya. (HR Abu Daud & At-Tarmizi).

Dari al-Hasan bin Ali dari Rasulullah s.a.w., baginda bersabda: Barangsiapa yang anaknya baru dilahirkan, kemudian dia mengumandangkan azan ke telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka anak yang baru lahir itu tidak akan terkena bahaya `ummu shibyan’.

`Ummu shibyan’ ialah angin yang dihembuskan kepada anak, jadi anak itu takut kepadanya. Ada juga yang berkata bahawa ia adalah `qarinah’, iaitu jin.

Mengapa azan?
Adalah wajar anak ini diazan dan diiqamatkan agar kalimah pertama yang didengarnya dan tembus ke gegendang telinganya adalah kalimah seruan Yang Maha Agung. Kalimah yang mengandungi persaksian (syahadah) terhadap keesaan Allah dan persaksian terhadap kerasulan Muhamad bin Abdullah s.a.w.

Anak yang baru menghirup udara dunia ini telah diajarkan dengan aqidah dan syariat Islam, sebagaimana seseorang yang akan mati diajarkan dengan kalimah tauhid `La ilaha illallah’. Agar pengaruh azan ini dapat meresap ke dalam diri anak ini.

Azan ini ialah untuk mengusir syaitan yang memang menanti-nanti kelahiran bayi ini.

Azan dikumandangkan ke telinga bayi agar seruan dakwah kepada Allah dan agamanya dapat mendahului seruan jahat syaitan.

Azan dan iqomah yang diperdengarkan akan dirakam oleh bayi berkenaan yang menjadi sebahagian dari pendidikan tauhid, syariat dan akhlak.


*
Antara sunnah yang perlu diamalkan terhadap bayi ialah `tahnik’, iaitu menggosok langit-langit bayi dengan kurma. Caranya: Kurma yang dikunyah diletakkan di atas jari, kemudian memasukkan jari berkenaan ke dalam mulut bayi. Gerak-geraknya ke kanan dan ke kiri dengan lembut hingga merata.

Jika sukar untuk memperoleh kurma, boleh diganti dengan manisan lain.

Dan yang lebih utama, `tahnik’ ini hendaklah dilakukan oleh seseorang yang mempunyai sifat taqwa dan soleh. Ini adalah sebagai suatu penghormatan dan harapan agar anak ini juga akan menjadi seorang yang taqwa dan soleh.

Hadis Rasulullah s.a.w. dari Abu Burdah, dari Abu Musa r.a., katanya: Aku telah dikurniakan seorang anak. Lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. dan baginda menamakannya dengan Ibrahim, men`tahnik’nya dengan kurma serta mendoakannya dengan keberkatan. Kemudia baginda s.a.w. menyerahkannya kembali kepadaku. (HR Bukhari & Muslim)

Antara sunnah menyambut kelahiran anak ialah mencukur kepala anak pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian bersedekah kepada orang-orang fakir dengan perak seberat timbangan rambutnya itu.

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan perkara ini, antaranya ialah:
Dari Ja’far bin Muhamad dari ayahnya, dia berkata: Fatimah r.a. telah menimbang rambut kepala Hasan, Husin, Zainab dan Ummu Kalsom. Lalu dia menyedekahkan perak seberat timbangan rambut berkenaan. (HR Imam Malik)

Yahya bin Bakir meriwayatkan dari Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyuruh agar dicukur kepala al-Hasan dan al-Husin pada hari ketujuh dari kelahiran mereka. Lalu dicukur kepala mereka, dan baginda menyedekahkan perak seberat timbangan rambut berkenaan.

Begitulah yang terdapat di dalam sunnah.


*
Soalan: Berkenaan dengan mencukur kepala bayi. Kebiasaannya di kampung2 ada majlis mencukur kepala yang akan disertakan dengan Marhaban. Ketika berselawat, bayi itu tadi akan dibawa keluar dan digunting sedikit rambutnya. Adakah ini mengikut syariat Islam?

Jawab: Apa yang saudara sebutkan di atas adalah adat di dalam masyarakat Melayu. Di dalam majlis berkenaan rambut bayi akan digunting sedikit. Jika begini, ia tidak menepati sunnah yang menganjurkan agar mencukurnya. Ramai yang beranggapan bahawa sudah memadai dengan berbuat demikian.

Mengenai majlis kenduri yang diadakan seperti yang disebutkan ada ulamak yang mengatakannya sebagai tidak mengapa, dan tidak kurang juga yang mengatakannya sebagai bid’ah. Perselisihan ini berpunca dari perbezaan masing-masing tentang definasi bid’ah.

Soal mahu mengadakan majlis bercukur seperti yang saudara sebutkan ataupun tidak itu terpulang kepada pendapat yang diikuti. Jika ia dianggap bid’ah, jangan buat. Jika ia dianggap tidak mengapa, terpulang…

Namun yang paling penting ialah melaksanakan sunnah sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.

Antara sunnah menyambut kelahiran bayi ialah memberinya nama dengan nama-nama yang baik. Dari Abu Darda’ r.a., bersabda Rasulullah s.a.w.: Sesungguhnya pada hari kiamat nanti kamu akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh itu, berilah nama yang baik untuk kamu. (HR Abu Daud)

Waktu memberi nama: Berdasarkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., ada yang menunjukkan pada hari pertama kelahirannya. Ini berdasarkan hadis riwayat Muslim dari Sulaiman bin al-Mughirah dari Thabit dari Anas r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Malam tadi telah lahir seorang anakku. Kemudian aku menamakannya dengan Ibrahim.

Ada juga hadis yang menunjukan pada hari ketujuh berdasarkan riwayat Samirah, katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Setiap anak itu digadaikan dengan aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuhnya, diberi nama dan dicukur kepalanya. (HR Ashabus Sunan)

Dapat disimpulkan dari hadis-hadis berkenaan bahawa Islam memberi kelonggaran terhadap tempoh pemberian nama anak. Boleh pada hari pertama, boleh dilewatkan pada hari ketiga, dan boleh ada hari ketujuh.

Antara sunah menyambut kelahiran bayi ialah beraqiqah. Hadis Rasulullah s.a.w.: Samirah, katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Setiap anak itu digadaikan dengan aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuhnya, diberi nama dan dicukur kepalanya. (HR Ashabus Sunan)

Berdasarkan hadis di atas dan hadis-hadis lain bahawa aqiqah dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Namun begitu berdasarkan pendapat imam Malik bahawa penentuan hari ketujuh seperti yang dilihat pada zahir hadis hanyalah berbentuk anjuran sahaja. Oleh itu, seandainya tidak dapat dilakukan pada hari berkenaan, maka beraqiqah pada hari keempat, kelapan, kesepuluh atau hari berikutnya sudah memadai.

Masalah aqiqah ini telah dibahas oleh ulamak dengan panjang lebar pada bab khusus mengenainya.

Antara sunnah menyambut kelahiran bayi ialah setiap muslim dianjurkan memberi ucap selamat dengan mendoakan kesejahteraan anak dan ibubapanya, serta turut sama bergembira.

Firman Allah Taala: Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang dia sedang berdiri sembahyang di mihrab (katanya), "Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang puteramu) Yahya.. (3:39)

Ibnu Qaiyim al-Jauziyah menyebutkan di dalam Tuhfatul Maudud, dari Abu Bakar al-Munzir, bahwa dia berkata: Telah meriwayatkan kepada kami dari al-Hasan al-Basri bahawa seorang lelaki telah datang kepadanya, dan di sisinya ada seorang lelaki yang baru dianugerahi seorang anak kecil. Lelaki itu berkata kepada orang yang mempunyai anak itu: "Selamat bagimu atas kelahiran seorang penunggang kuda." Hasan al-Basri berkata kepada lelaki itu: "Apakah kamu tahu, apakah dia seorang penunggang kuda atau penunggang keldai?" Lelaki itu bertanya: "Jadi bagaimana cara kami mengucapkannya?" Hasan al-Basri menjawab: "Katakanlah, semoga kamu diberkati di dalam apa yang diberikan kepadamu. Semoga kamu bersyukur kepada yang memberi. Semoga kamu diberi rezeki dengan kebaikannya, dan semoga ia mencapai masa balighnya."

Begitulah secara asasnya beberapa sunnah menyambut kelahiran bayi. Sunnah-sunnah ini masih belum terasa janggal untuk diamalkan kerana ramai yang beramal dengannya. Oleh itu, kita juga perlu sama-sama beramal dengannya, semoga ia menjadi sebahagian dari tahap pendidikan ke arah mewujudkan genarasi muslim yang berakhlak mulia serta bertaqwa kepada Tuhannya.

Sekian. Wallahu a’lam.

0 comments:

Post a Comment

Thank You

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...